Sabtu, 8 Disember 2012

Bila Putera Harakah Islam Mahu Menikah?


Tertarik dengan tajuk "Bila Putera Harakah Islam Mahu Menikah"..Biasanya perkara ni selalu menjadi perbualan khususnya muslimat-muslimat tahun akhir di IPT..


Saya melihat isu ini bukanlah suatu isu yang ringan, yang mungkin sesetengah sahabat melihat isu ini tidak sesuai diperbincangkan secara terbuka, hanya khusus kepada golongan Tahun Akhir atau mahasiswa yang sudah bergraduan seperti saya. Bagi saya, isu ini sama berat dengan isu pembentukan Fardu Muslim, yang memerlukan azam, semangat, pengharapan, doa dan segala-galanya bergantung pada Allah. Oleh itu, seharusnya kita sudah mula berfikir, sejauh manakah persediaan kita ke arah itu?

Bagi saya, dalam isu siapa yang harus menunggu dan menanti, itu bergantung kepada takdir yang telah Allah susunkan untuk kita. Ya, berdasarkan kajian pelajar Tahun Akhir di kalangan sahabat kampus, rata-rata 'kami' (mungkin...) memang banyak merungut tentang muslimah sebagaimana yang diceritakan dalam artikel sahabat yang saya lampirkan di bawah.

Namun, permasalahan yang disebutkan dalam artikel sahabat itu  kalau difikirkan secara mendalam, mungkin bercampur-baur dengan 'permainan emosi' semata-mata, kerana itu bukan persoalan yang perlu dijawab oleh mana-mana muslimin kerana nama pun seorang muslim. Muslim itu ada kesukaannya pada SEORANG QURRATUL A'YUN.... yang mungkin kita tidak tahu pada siapa ia dijodihkan.

Begitu juga yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW, biarpun Khadijah R. Anha telah wafat, nama Khadijah sentiasa disebut dikalangan isteri-isterinya sehingga timbulnya kecemburuan Aisyah dan Ummahatul Mukminin yang lain, bukan kepada orangnya, tetapi kepada nama isteri pertama Nabi yang agung itu.

Itu adalah sejarah, dan hakikat yang tidak boleh tolak pada fitrah seorang lelaki. Kelembutan, kecantikan, keserasian sikap, masih lagi menjadi 'kriteria sampingan' selepas mengiltizami bahawa agama adalah pilihan terbaik. Justeru,  dalam berbicara bab-bab Baitul muslim ini, permasalahan yang mungkin lebih dan perlu ditekankan adalah :

1. Bagaimana Baitul Muslim itu diuruskan.
Pengurusan Baitul Muslim sebaik-baiknya mengikut cara Nabi SAW, melalui orang tengah. Rata-rata pada hari ini, ramai juga muslimin yang menggunakan  'direct approaching'  yang mampu membuatkan muslimah terasa bersalah, lalu menerima cinta ala-ala Jahiliyyah kerana rasa seolah-olah sudah dicemari dengan pertanyaan sebegitu rupa. Kata muslimah yang kecewa kerana tak dapat ber'BM' melalui orang tengah itu, " Ala... dia juga seorang muslimin, yang penting jaga batasan...".

2. Bagaimana ilmu Baitul Muslim itu diperbincangkan.
Isu ini patut menjadi satu persediaan ke arah mengkonklusikan kemantapan fardu muslim yang sedia ada. Menjadi imam ketika solat, mempunyai thaqafah dan beriltizam dengan program-program tarbiyah adalah suatu asas. Bagaimana kita nak melahirkan muslimin yang betul-betul mampu menjadi zauj yang cemerlang, kalau daripada awal masih belum ada target?

3.Bagaimana merealitikan Baitul Muslim yang dibina.
Kadang-kadang muslimin ini adakala suka 'booking', atas alasan-alasan yang tertentu. Bagi saya, 'booking is prohibited' kerana tidak ada beza dengan couple. Seharusnya muslimin dan muslimat perlu menilai sejauh mana mereka benar-benar bersedia. Kalau tidak bersedia dari segi kewangan, dapatkan 'confirmation letter' dari walinya (maksudnya, ibu bapanya meredhai bakal suaminya masih lagi dalam proses mencari kewangan yang kukuh...) . Paling tidak pun, pertemuan dan perbincangan harus berbincang mengenai majlis yang bakal dilangsungkan, bukan bercerita tentang 'taaruf ' semata-mata.

Artikel dibawah saya kongsikan untuk anda, bagi sama-sama kita mengambil ibrah dari apa yang ada. Penulisan diatas ditulis oleh seorang muslimin, penulisan di bawah ditulis oleh seorang muslimat. Silakan membaca :

MENANTI SI PUTERA HARAKAH ISLAM...
Dipetik dari : Wardahtul Jannah

"Akak, kami hairanlah muslimin ni, mereka nak apa lagi?kami ni tak cukup solehahkah?", "Enti, muslimin jemaah ni nak yang cantik jak macam bidadari, ana ni bukannya cantik pun", "Akak pilih yang bukan jemaah kang, baru padan muka muslimin kita", "Hermm, usia akak dah meningkat, tapi sampai sekarang tiada calon-calon lagi, tolong carikan akak..". Allah..

Ini adalah antara lontaran-lontaran persoalan, keluhan, rintihan isi hati para muslimat harakah yang masih solo. Orang kata "single and avilable". Adakah ini menandakan mereka kecewa dengan ketentuan Allah? Oh, sudah tentu tidak. Hanya luahan rasa didalam hati dan inginkan perkongsian dengan sahabat-sahabat sefikrah yang sememangnya memahami. Disini ana ingin kongsikan isi hati para muslimat harakah yang mana, baitul dakwah ini merupakan salah satu perkara yang sering menjadi dilema. Takala usia yang meningkat belum ada putera yang memegang panji Islam datang melamar. Sememangnya ia akan menjadi perkara yang agak menakutkan.

Penolakan kerana Allah

Pembaca-pembaca yang diredhai Allah SWT, rata-rata apa yang ana perhatikan, kebanyakan muslimat harakah yang mengintima'kan diri sepenuhnya dengan jemaah Islam masih belum bertemu mujahid yang cintakan syahid. Muslimat harakah tidaklah mengharapkan seorang zauj yang kacak bak Ronaldo DeCaprio, tidak juga menginginkan zauj yang mempunyai kekayaan yang melimpah ruah seperti Bill Gates. Apa yang diharapkan hanya seorang zauj yang memahami dirinya kerana sememangnya muslimat harakah telah ditarbiyah untuk cintakan Islam, telah diwakafkan dirinya untuk perjuangan semata-mata ingin melihat Al-Quran dan As-Sunnah dijulang sebagai panduan. Sebenarnya, bukan seorang dua yang ingin menyunting mawar berduri yang sudah mekar ditaman, malah boleh dikatakan ramai. Jadi mengapa ditolak tuah yang datang?? Wahai kaum muslimin, ana ingin memberitahu agar bisa difahami, itu bukan namanya tuah, tetapi membawa cerita yang puaka dalam kehidupan. Muslimat harakah bukanlah menolak kerana paras rupa tidak menawan, akan tetapi penolakkan sebenarnya kerana Allah SWT. Ya, kerana Allah. Mana bisa pemilihan yang dibuat untuk kehidupan didunia dan akhirat ibarat seperti membeli ikan yang busuk di pasar dek kerana tergesa-gesa ingin pulang kerumah tanpa melihat yang mana ikan segar dan yang sudah lama. Cukuplah akhlak dan agamanya menjadi pilihan dihati. Sudah tentu juga dalam pemilihan si muslimat harakah, bakal zaujnya adalah seorang yang sefikrah dengannya. Sama-sama membawa risalah Rasulullah SAW dalam satu jalan yang sama. Muslimat harakah ada hak untuk menerima seseorang yang bakal mencorakkan kehidupannya.

Itulah, siapa suruh terlalu memilih!

Memilih? Muslimat harakah sememangnya memilih. Muslimat harakah memilih juga kerana Allah SWT. Cuba bayangkan nasib muslimat harakah sekiranya terlepas ditangan-tangan yang meyekat kakinya dijalan dakwah. Seorang zauj yang tidak memahami apa itu Jemaah Islam. Dengan memintanya hanya berkurung dirumah tanpa usrah dan majlis ilmu, tanpa sahabat-sahabat sefikrah, tanpa program-program tarbiyah. Tidakah semua itu menyakitkan dirinya? Muslimat harakah hanya sedikit permintaannya, jongkang emas sudah tentu bukan menjadi pilihan. Akan tetapi muslimat harakah menginginkan dirinya thabat dalam Jemaah. Bersama-sama zauj untuk melayari baitul dakwah yang sakinah.Sekali lagi ana ingatkan, muslimat harakah hatinya telah terpaut dengan keindahan taman-taman syurga. Demi mencari cinta Robbul 'Izzati rela dilepaskan cinta duniawi yang sememangnya hanya sementara.

Inilah namanya muslimat harakah. Siapa tak kenal dengan muslimat yang lantang bersuara membela kebenaran? Bergerak melangkah bak menunggang kuda kemedan jihad, teguh berpendirian bagaikan pokok kelapa di persisiran pantai. Kita harus sedar, inilah hakikat perbezaan muslimat yang ditarbiyah didalam jemaah Islam berbanding wanita-wanita yang dihiasi dengan kemewahan, kesenangan, hiburan dan pelbagai keindahan dunia. Hakikatnya, kita juga perlu tahu bahawa tidak semestinya suara yang lantang seperti harimau dia tidak solehah, mukanya garang seperti singa, dia langsung tidak memiliki kelembutan, kesopanan dan kasih sayang. Walaubagaimanapun, muslimat harakah tetap seorang wanita yang sememangnya memiliki ciri-ciri kewanitaan. Segala keindahan yang dimiliki oleh dirinya hanya akan diperlihatkan kepada seseorang yang benar-benar berhak keatasnya. Iaitu seorang zauj yang bersama-sama mencintai syahid dijalan Allah.

Alaa.. bagi muslimatlah yang memulakan langkah seperti Siti Khadijah

Kita harus ingat, tidak semua muslimat harakah berani mengambil langkah seperti Siti Khadijah iaitu kisah cinta sejati Rasulullah SAW. Ada yang menjejaki langkah, alhamdulillah. Tahniah ana ucapkan, kerana itu sama-sekali tidak betentangan dengan syaro'. Malah ianya sungguh mulia kerana mengikuti jejak langkah kisah cinta yang telah diajar oleh dua hamba Allah yang mulia iaitu murobbi cinta kita Rasulullah SAW dan Siti Khadijah RA.Cumanya, biarlah ia benar-benar bertepatan dengan apa yang telah diajarkan.

Suka ana memetik kata-kata daripada buku Murobbi Cinta (Ustaz Hasrizal) dalam bab Kenangan Terhalal,"...janganlah dicemari perhubungan praperkahwinan dengan apa-apa ynag haram atau syubhah. Biar kenangan semuanya halal dan indah belaka."

Seharusnya juga, muslimin yang menggelarkan dirinya sebagai harakah Islam perlu memulakan langkah. Andaikata saling tunggu menunggu, akhirnya melepas begitu sahaja. Muslimat harakah hanya berangan-angan untuk hidup bersama si putera harakah Islam.

Pembaca-pembaca yang dirahmati Allah, kesimpulannya, jodoh sudah tentu telah ditetapkan oleh Allah SWT. Tetapi kita perlu ingat, usaha itu kena ada untuk mendapatkannya. Setelah berusaha, maka bertawakal dan redhalah dengan ketentuan-Nya. Tidak semestinya juga hidup bersama putera harakah Islam akan menjamin kebahagian dan menjamin untuk muslimat harakah itu thabat didalam Jemaah Islam. Akan tetapi, sekurang-kurangnya nampaklah sedikit sinar harapan untuk muslimat harakah melihat masa hadapannya.

Klik untuk sumber entry

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
✿ Personal Blog : Copyright 6/12/2012 © Design By Nurul Jannah Binti Ahmad ✿