Khamis, 7 Mac 2013

Laksamana Cheng Ho

Laksamana Cheng Ho sememangnya tidak asing bagi kita. Malangnya, berapa ramai yang sedar tentang tokoh Islam hebat ini? Di luar lingkungan rantau Asia, kisah kehebatan pelayar unggul ini tenggelam berikutan agenda Barat menjaja kehebatan Christopher Columbus atau Ferdinand Magellan. Buktinya, Cheng Ho terlebih dulu membelah samudera luas berdekad-dekad lebih awal awal sebelum dua tokoh pelayar Barat itu memulakan pengembaraan mereka.




Cheng Ho atau dieja dan disebut ‘Zheng He’ dalam bahasa Mandarin, adalah pegawai diraja Dinasti Ming yang beragama Islam itu dan disifatkan penjelajah China paling popular. Malah, kehebatannya itu turut membantu mengubah negara Tembok Besar itu sebagai kuasa besar dunia ketika itu. Sudah pasti, Cheng Ho juga barangkali rakyat China paling dikenali oleh penduduk Malaysia kerana nama dan pengembaraannya terpahat dalam sejarah Kesultanan Melaka.

Kisah kehebatan Cheng Ho yang akhirnya mencatatkan namanya sebagai pelayar legenda bermula pada 1405 apabila terpilih mengetuai ekspedisi laut terbesar dalam sejarah ketika itu. Sehingga 28 tahun kemudian, Cheng Ho mengemudi tujuh kapal melawat hampir 40 negara, dari Asia Tenggara sehingga ke Afrika dan Arab. Ketika itu, China sudah jauh ke depan dengan memiliki kapal paling besar di dunia dan pada tahun 1420, angkatan laut Dinasti Ming sudah pun mengatasi gabungan angkatan laut Eropah. Sayangnya, kehebatan Cheng Ho jarang sekali dapat meletakkannya setaraf Columbus walaupun reputasinya jauh mengatasi pengembara Eropah itu.

Namun, dunia kini boleh mengenang semula kehebatan Cheng Ho apabila kerajaan China memutuskan membina semula kapal kayu sama seperti replika yang pernah digunakan laksamana itu dalam pelayarannya mengelilingi dunia 600 tahun lalu.

Penulis yang mengikuti lawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, ke Nanjing, baru-baru ini, sempat melihat sendiri usaha mengembalikan semula zaman kegemilangan pelayar agung berkenaan.
Malah, penubuhan Nanjing Dragon Treasure Boat Development Co Ltd (DTB) itu menjadi pertaruhan China menghidupkan membina semula kapal yang dianggarkan menelan kos AS$20 juta (RM64 juta).

Apa yang menarik, seperti dinyatakan Timbalan Pengurus Besar DTB, T J Jia, kapal berkenaan dibina menggunakan balak yang diimport dari Sabah kerana ia jauh lebih berkualiti dan melepasi semua ujian yang diadakan termasuk kalis air.

“Bukan sebarangan balak yang diperlukan untuk membina kapal ini. Balak paling sesuai ialah dari Sabah. Bagi membina asasnya saja kami memilih tiga batang balak paling teguh daripada lebih 500 batang.

“Selain batang balak yang lurus, kami juga perlu mencari batang balak yang agak bengkok untuk membentuk badan kapal kerana usaha membengkokkan balak yang lurus bukan kerja mudah,” katanya pada sesi taklimat.

Replika yang dinamakan Kapal Harta Karun Zhenghe itu dilengkapi dua enjin diesel 600 kuasa kuda dan peralatan pelayaran moden. Panjangnya berukuran 71.1 meter, 14.5 meter lebar dan kedalaman 5.7 meter, ia adalah bot pelayaran kayu gaya purba terbesar dunia apabila pembinaannya siap pada September tahun depan.

Mengambil kira kedudukan Melaka dalam sejarah pelayaran Cheng Ho, negeri itu akan menjadi persinggahan pertama kapal berkenaan dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan laksamana itu sebagai pengembara laut terunggul.

Pembinaan semula Bot Harta Karun Zhenghe akan membangkitkan semula seni reka kapal laut klasik bagi bot layar kayu yang besar. Ia turut membuka jalan bagi pertukaran budaya, sejarah, perdagangan, agama dan kajian sains.

Selepas siap dibina, ia bakal belayar menyusuri ‘Laluan Sutera Laut’ yang pernah dilalui Cheng Ho untuk membawa tamadun marin China dan mengukuhkan kesedaran rakyat mengenai maritim.

Namun, paling penting, ia mendedahkan fakta yang disembunyikan oleh Barat mengenai kehebatan pelayar Islam menguasai samudera.

  • __ FASIH BERBAHASA ARAB

LAKSAMANA Cheng Ho, yang namanya terpahat dalam mata pelajaran Sejarah kerana membuka jalan hubungan diplomatik dua negara, Melaka dan China adalah seorang pelayar Islam legenda pada kurun ke-15.

Dikenali sebagai Ma He pada awalnya, beliau dilahirkan pada tahun 1371 dalam sebuah keluarga Cina Islam etnik Hui yang miskin. Kunjungan bapa dan datuknya ke Makkah untuk menunaikan haji, amat menyumbang kepada pendidikan Cheng Ho sejak awal. Beliau membesar dengan fasih bertutur dalam bahasa Arab selain bahasa ibundanya, serta belajar mengenai dunia sehingga ke Barat dan geografi serta budayanya.

Bertugas sebagai pekerja istana ketika berusia 10 tahun, Cheng Ho ditugaskan menjadi pengiring Duke Yan, yang kemudian dinobatkan sebagai Maharaja Yong Le yang memerintah dalam Dinasti Ming. Beliau mengiringi Yan dalam banyak siri kempen ketenteraan yang membawa kejayaan dan memainkan peranan penting dalam menakluk Nanjing, ibu negara China ketika itu. Beliau kemudian dianugerahkan pangkat tinggi dalam istana dan diberi nama keluarga Zheng.

Maharaja Yong Le berusaha menaikkan imejnya dengan menghantar pegawainya belayar dan tugas nakhoda pelayaran diserahkan kepada orang kepercayaannya, Cheng Ho.

Sebuah kapal besar dengan sembilan tiang layar dan dikemudi 500 anak kapal pada setiap satunya, memulakan pelayaran pada Julai 1405 iaitu kira-kira 50 tahun sebelum Columbus menemui Amerika Syarikat.


Kebanyakan kapal dibina di Teluk Naga berhampiran Nanjing, dan peninggalannya masih boleh dilihat sehingga hari ini. Armada pertama Cheng Ho termasuk 27,870 pekerja di atas 317 kapal, termasuk kelasi, kerani, penterjemah, askar, pakar perubatan dan pakar kaji cuaca. Mereka membawa kuantiti besar kargo termasuk sutera, emas, perak, peralatan tembaga serta barangan kapas.


Armada itu berlayar ke Champa yang berhampiran Vietnam dan selepas melepasi Laut China Selatan, ia melawat Jawa, Sumatera dan sampai ke Sri Lanka dengan melepas Selat Melaka.

Dalam perjalanan pulang, ia belayar di sepanjang pantai barat India dan tiba pada tahun 1407. Pada musim luruh 1413, Cheng Ho meneruskan pelayaran dengan 30,000 ahli rombongan ke Arab dalam pelayarannya yang keempat dan paling penting. Ketibaan armada diketuai Cheng Ho itu mencetuskan sensasi di rantau berkenaan, dan 19 negara menghantar duta menaiki kapalnya dengan hadiah untuk Maharaja Yong Le.

Pada tahun 1417, selepas dua tahun di Nanjing dan melawat bandar raya lain, pembesar asing itu diiringi pulang oleh Cheng Ho sendiri. Dalam pelayaran itu, beliau mengunjungi pantai timur Afrika, berhenti di Mogadishu, Matindi, Mombassa dan Zanzibar serta berkemungkinan besar sampai ke Mozambique.

Maharaja Yong Le meninggal dunia pada tahun 1424 sejurus selepas Cheng Ho kembali daripada pelayarannya yang keenam. Pada tahun 1430, beliau masih lagi dipercayai untuk mengetuai armada untuk kali ketujuh yang juga terakhir. Pada usia 60 tahun, Cheng Ho melawat semula Teluk Parsi, Laut Merah dan Afrika. Beliau meninggal dunia di India dalam perjalanan pulang pada tahun 1433.

✿✿✿✿✿✿✿✿✿✿✿✿✿✿✿✿✿✿✿✿✿✿✿

Haa, tu baru sikit tentang Cheng Ho. Kalau nak tahu apa yang lebih menarik tentang laksamana ni, kena rajin-rajin la cari buku tentang ni =)


Alhamdulillah, dah beberapa kali khatam buku ni, beli tahun lepas. Teruja nak tahu lebih tentang tokoh Islam, armanda lautan barat ni. BB1M dah dapat, hajat dihati nak cari lagi buku-buku tentang Cheng Ho, nak contohi strategi kepimpinan beliau. Semoga dipermudahkan urusan. Amin...

Sumber >klik<

Jom sama-sama jadi baik, tabarakallah ^^,

1 ulasan:

MUQARRABINZ berkata...

Bila agaknya kapal tu akan singgah di Melaka? Teringin nak tengok.

Saya teringat kapal Jewel of Muscat yang belayar tanpa enjin dan sistem navigasi cuma guna cara dulu dari Oman singgah di Pulau Pinang untuk kedansekarang berada di Muzium Singapura. Hebat2 orang dulu berbanding kita sekarang.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
✿ Personal Blog : Copyright 6/12/2012 © Design By Nurul Jannah Binti Ahmad ✿