Fathil terpaku. Sedih. Perasaaan bercampur baur melihat
sahabat-sahabat seperjuangan Islam ketika di sekolah menengah, kini semakin
leka dengan nikmat kesenangan dunia. Tipu daya syaitan mengatasi
segala-galanya. Facebook, laman web sosial yang semakin popular, digunakan
sebagai medium untuk berhubung dengan kawan-kawannya semula. Fathil sekarang
sedang menunggu keputusan peperiksaan akhirnya. Dia belajar di sebuah kolej
persediaan untuk ke Australia.
Pilu melihat gambar-gambar sahabatnya di Facebook yang mana
dahulunya cukup terkenal sebagai akhi yang sering yang bermujahadah dan
istiqamah dalam dakwah, kini hanyut dengan arus cinta manusia. Gambar-gambar
bersama teman wanita menghiasi ‘profile pictures’ sahabat-sahabatnya. Tidak
kurang juga bagi akhwat, yang dahulunya sangat dihormati kerana menjaga batas
pergaulan, tunduk apabila berbicara membuktikan kukuhnya iman, kini alpa dengan
arus pemodenan.
Hijab yang dahulunya menjadi duri bagi setiap kumbang yang
ingin hinggap pada mawar tersebut, kini sudah tiada lagi. Tudung singkat dan
baju ketat menjadi pilihan, menampakkan bentuk tubuh badan yang telah
diamanahkan Allah untuk dijaga sebaik mungkin daripada pandangan bukan muhrim.
Bukan semua sahabatnya, hanya segelintir. Kalimah istighfar
membasahi bibir Fathil, kelopak mata yang sarat dengan takungan air, melimpah
jua.
“Ya Allah, berikanlah hidayah
kepada sahabat-sahabat seperjuanganku, janganlah Kau biarkan mereka hanyut dan
jauh daripada jalan-Mu yang lurus, sepertiku dulu….”
Fathil tidak mampu membuat apa-apa, kerana apabila dinasihat
melalui laman web sosial tersebut, mereka lebih pandai berhujah, malah cuba
membenarkan apa sahaja perlakuan mereka. Syaitan dan hawa nafsu menguasai diri
mereka. Mereka mempersendakan hukum Allah, tidak takut akan balasan Allah.
“Kenapa mereka berubah
sedemikian rupa, Ya Allah” monolognya sendirian.
Fathil mencapai dan membelek-membelek tafsir Al-Quran di
hadapannya. Cantik, biru warna kulitnya, dihadiahi seseorang yang pernah
mengisi kekosongan hidupnya, suatu ketika dahulu.
“Dan jauhkanlah diri dari
orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan
mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka)
dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus
(ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan
yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi
syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan
segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya.
Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab
apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas
yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka
kufur ingkar (semasa hidupnya).” (Al-An’aam 6:70)
*****
“Awak, saya harap awak dapat
terima buku Hadith Pilihan ni, Insyaallah dapat membimbing kita bersama-sama,”
ungkap Fathil sambil menghulurkan sebuah buku berkulit tebal; himpunan
hadith-hadith sahih, kepada Asiah.
Asiah juga menghulurkan sebuah tafsir Al-Quran kepada
Fathil. Fathil menyukainya memandangkan warna kulit buku tersebut berwarna
biru, warna kegemarannya. Pertemuan buat kali terakhir itu dirancang di hadapan
masjid berdekatan sebelum mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang
masing-masing. Asiah mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di Syria,
manakala Fathil mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di Australia. Sebelum
itu, Fathil perlu membuat persediaan di sebuah kolej di ibu kota selama setahun
setengah di Malaysia.
*****
Fathil dan Asiah adalah antara tulang belakang dalam badan
Agama sekolah. Tetapi, sudah menjadi lumrah untuk manusia mempunyai perasaan
terhadap berlainan jantina. Mereka menyukai antara satu sama lain. Cinta yang
kononnya kerana Allah, iaitu tipu daya syaitan, menghalalkan segalanya.
Pada suatu hari, Fathil meluahnya perasaannya, menggagahkan
dirinya mengambil telefon bimbitnya dan menaip,
“Assalamualaikum. Asiah,
sebenarnya saya berniat untuk menjadikan awak sebagai kekasih hati saya, wanita
yang menyinari hidup saya, bersama-sama membantu saya dalam menegakkan dakwah
Islam. Saya memerlukan seseorang yang mendokong saya supaya saya dapat menggalas
tanggungjawab menjadi da’ie dengan sebaik mungkin, sepertimana mulianya kasih
sayang dan pengorbanan yang dilakukan Khadijah terhadap Rasulullah. Saya
cintakan awak, ikhlas kerana Allah, saya sebenarnya berniat menjadikan awak
sebagai isteri, tapi kekangan masa mengatasi segalanya, kerana banyak
tanggungjawab perlu digalas, saya berharap buat masa ini, awak dapat menerima
saya sebagai teman lelaki awak. Insyaallah, jika kita bercinta kerana Allah,
Allah akan sentiasa membantu kita supaya kita tidak dikawal oleh hawa nafsu.”
Panjang mesejnya, menanti dengan penuh debaran samada Asiah
menerimanya atau tidak. Dipendekkan cerita, responnya positif. Bermulalah
sebuah episod cinta yang kononnya berlandaskan Islam, atau “couple in islamic”.
Indah, kerana mereka saling memperingati antara satu sama lain, berkongsi
ayat-ayat Al-Quran dan banyak lagi. Namun, sebagai manusia dan hamba Allah yang
lemah, mereka juga tidak lari daripada zina, walaupun tidak sampai berpegangan
tangan, melakukan maksiat atau berdua-duaan di tempat sunyi.
Zina yang dimaksudkan ialah zina hati, kerana mereka saling
merindui antara satu sama lain. Sudah menjadi lumrah apabila pasangan akan
mengingati pasangannya yang lain. Mereka tewas dengan diri sendiri, malah
semakin jauh daripada mengingati Allah. Fathil yang dahulunya menghiasi
hari-hari dengan membaca Al-Quran dan berzikir mengingati Allah, sudah berubah.
Dia lebih banyak mengingati Asiah daripada Allah, penciptanya. Begitu juga
Asiah.
*****
“Assalamualaikum, awak tinggal
di bilik AE-25 ke?” sapa seorang lelaki dari belakang, bertubuh agak
tinggi dan tegap, suci mukanya.
“Ya,” jawab Fathil,
ringkas. Kini, dia berada di hadapan bilik AE-25, asrama tempat tinggal kolej
persediaannya.
“Owh, jadi bilik kita sama,”
senyum lebar lelaki tersebut.
Umar namanya. Wataknya yang periang membuatkan Fathil berasa
selesa dengannya, malah mereka berdua mempunyai nawaitu yang sama, iaitu
menjadi syabab (pemuda) yang menjadikan Islam sebagai rutin hidup, yang
seimbang antara dunia dan akhirat, serta bersama-sama dalam jalan dakwah
berkongsi ilmu mengenai Islam terhadap pemuda-pemuda yang lain. Rutin harian
mereka mudah diikuti. Mereka bersolat jemaah pada setiap waktu di surau,
mengamalkan al-mathurat selepas subuh, membasahkan lidah dengan berzikir dan
berselawat, bersugi sebelum berwuduk, menunaikan solat sunat dhuha, menunaikan
solat tahajud di kala sahabat yang lain enak tidur, usrah bersama rakan-rakan,
mengamalkan surah Al-mulk sebelum tidur, dan pelbagai lagi amalan yang
dilakukan, semata-mata mencari keredhaan Allah.
Mereka berdua menunjukkan teladan yang baik sebagai medium
dakwah. Alhamdulillah, mereka berdua menjadi sahabat karib yang mana mereka
bersahabat kerana Allah, bertemu dan berpisah jua kerana-Nya.
Sudah 4 bulan mereka belajar di situ. Umar menyedari
perbuatan Fathil sejak sekian lama, pada setiap pagi selepas subuh dan juga
sebelum tidur. Fathil pasti akan menggunakan telefon bimbitnya, bermesej sambil
senyum sendirian. Selama ini, Umar sentiasa husnul zon (bersangka baik). Namun,
pada hari ini dia bertekad untuk bertanya Fathil. Umar memulakan perbualan
sebelum tidur.
“Baiknya, nta selalu mesej ibu
bapa nta.”
“Eh, mana ada, ana tak mesej
diorang pun, ana mesej kawan,” jawab Fathil.
“Owh, kawan, lelaki ke
perempuan?” soal Umar.
“Hmmmm,” Fathil terhenti
seketika. Dia dapat mengagak bahawa Umar mengesyaki sesuatu.
*****
“Tak, nta tak paham, ana
bercinta kerana Allah, ana dah berjanji yang akan bernikah setelah abis
belajar,” jawab Fathil, sayu.
“Wahai akhiku, tiada perkara yang menghalalkan cara,
walaupun niat nta baik, tapi nta tersalah method. Sebagai contoh, seorang ustaz
ingin mengajarkan agama terhadap seseorang perempuan, tetapi mereka
berdua-duaan di hadapan khalayak. Walaupun niat ustaz tersebut baik, tetapi
methodnya salah. Maka akan timbulnya fitnah daripada orang yang melihatnya.
Bagi situasi nta plak, walaupun nta mempunyai niat yang baik, untuk menjadikan
dia sebagai isteri yang sah, method nta kurang tepat. Nta tetap berpeluang
untuk terjerumus dalam zina, iaitu zina hati. Usah menipu diri sendiri dengan
mengatakan yang nta tidak sesekali rindu akan dia. Jika nta betul-betul
sayangkan dia kerana Allah, nta tidak akan membiarkan dia menghampiri zina,
kerana sudah semestinya dia juga akan merindui nta. Jika nta mencintai dia, kenapa
nta hendak kotorkan hati sucinya daripada lalai mengingati Allah, tetapi
mengingati nta? Jangan biarkan hawa nafsu menguasai kita, ana sayangkan nta
sebagai sahabat dunia akhirat, ana takkan biarkan nta hanyut dengan cinta
remaja, lagipun adakah nta dapat menjamin bahawa nta cintanya kerana Allah,
atau kerana hawa nafsu?” hujah Umar, panjang lebar. Umar beristighfar supaya
dirinya tidak dikuasai emosi, sebaliknya bersikap profesional dalam menasihati
sahabatnya itu.
“Tapi Umar, nta jangan salah faham, ana dengan dia saling
menasihati antara satu sama lain, saling mengingatkan, ana tak ada mesej
jiwang-jiwang dengan dia, Subhanallah. Malah, apa bezanya kalau ana mesej
dengan dia, atau mesej dengan kawan perempuan lain?”
“Beza akhiku, kerana nta mempunyai perasaan terhadap dia,
dan si dia juga mempunyai perasaan terhadap nta, iaitu kasih sayang dan cinta.
Berbeza dengan kawan perempuan, yang mana kita mesej apabila dirasakan perlu
dan nta tidak ada perasaan terhadapnya. Tetapi, kepada si dia, nta sudah pasti
rasa tidak keruan jika tidak mesej dengannya, walaupun sehari, bukan? Sedarlah
wahai sahabatku.”
Fathil diam. Terpaku. Tidak mampu berkata apa-apa, hanya
mampu beristighfar, memikirkan kata-kata sahabatnya. Hari-hari malam yang
dilaluinya, begitu perit, kerana Umar sentiasa menasihatinya, istiqamah. Umar
tidak pernah berputus asa membimbing sahabatnya itu. Fathil teringat akan
firman Allah,
“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan
sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab
Allah, tidakkah kamu berakal?” (Al-Baqarah 2:44)
“Ya Allah, apa yang telah aku lakukan, aku menggalakkan
sahabat-sahabatku supaya bertaqwa kepada Allah, tetapi aku lupa akan kejahilan
diriku ini,“tersentuh hati Fathil.
Fathil juga semakin sedar. Dia semakin banyak menghabiskan
masa membaca Al-Quran.
Method dakwah Umar memang berkesan. Alhamdulillah. Umar
sentiasa berdoa supaya sahabatnya sedar. Fathil sedar bahawa selama ini dia
bercinta didorongkan hawa nafsu, bukan kerana Allah. Jika dia bercinta kerana
Allah, dia tidak akan mengotorinya dengan hawa nafsu dengan mendekati perempuan
tersebut. Fathil bertaubat, memohon seribu kemaafan daripada Allah. Suatu hari,
dia bertekad, dan meminta pendapat Umar, adakah dia patut minta putus dengan
Asiah. Umar tenang, sambil berkata,
Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi
kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan
(ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak
mengetahuinya. (Al-Baqarah 2:216)
Fathil bertekad, mengambil telefon bimbit di belakang
bantalnya, dan menaip mesej,
“Assalamualaikum awak. Saya
ingin mintak maaf, ikhlas dari lubuk hati, mungkin keputusan saya ini akan
membuatkan awak terkejut, dan menangis. Tetapi percayalah, saya melakukan ini
semata-mata kerana Allah. Cinta kepada Allah sangatlah agung, tetapi sukar
untuk kita miliki. Selama ni, cara kita salah, tiada ungkapan cinta islamik
dalam cinta remaja, sebaliknya cinta yang sebenar ialah selepas akad nikah. Walaupun
kita selalu berhubung dan saling menasihati mengenai benda-benda kebaikan,
perkara ini tak menghalalkan cara. Saya tiada niat untuk melukakan hati awak,
sebaliknya jika awak benar-benar menyayangi saya, kerana Allah, kita akhiri
hubungan kita setakat ini sahaja. Ingatlah, kita hanya merancang, tetapi Allah
adalah sebaik-baik perancang, jika kita benar-benar dijodohkan, Alhamdulillah,
jika tidak, terimalah ketentuan Allah, dengan redha dan ikhlas. Kita hidup
mengharapkan keredhaan-Nya. Saya harap kita akan dapat kekal sebagai kawan
sahaja setakat ini.”
Mesej dihantar. Air mata Fathil mencurah-curah. Tidak
tertahan olehnya pengorbanan yang telah dilakukan. Umar berada di sisi, memberi
kata-kata semangat, “Luahkan segalanya wahai akhiku, ingat, nta bermujahadah
kerana Allah, Allah akan sentiasa bersama nta.”
*****
Bunyi deringan lagu ‘Menanti di barzakh’, alarm telefon
bimbit Umar memecah kesunyian subuh. Mereka berdua terjaga, bersiap-siap.
Fathil mencapai telefon bimbitnya; ada 5 mesej dan 2 ‘miscall’. Tak
semena-mena, Fathil menangis. Umar dapat menjangkannya, dan hanya mampu
memberikan semangat kepada Fathil. Fathil menggagahkan dirinya untuk bersolat
subuh berjemaah di surau, mengikut Umar.
Seolah-olah sebahagian nyawanya hilang, dia menangis
teresak-esak sepanjang perjalanan ke surau. Namun, dia percaya, mujahadah dan
pengorbanan yang dilakukan ini, hanya akan dirasa sebentar sahaja keperitannya,
dia percaya bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang, dan setiap perkara pasti
ada hikmahnya. Mungkin dia akan dipertemukan dengan perempuan yang lebih baik,
kerana jodoh sudah pasti di tangan Allah.
Perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang
baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka
(yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh
orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari
Allah) dan pengurniaan yang mulia.
(An-Nuur 24:26)
******
Masa berlalu begitu pantas. Kenangan yang lama telah
dilupakan. Hidup mesti diteruskan. Alhamdulillah, Umar dan Fathil telah
mendapat keputusan yang cemerlang, melayakkan diri mereka untuk melanjutkan
pelajaran di Australia. Rezeki mereka juga baik kerana mereka mendapat tempat
di universiti yang sama di Australia.
“Umar, nta berhajatkan sesuatu,”
kata Fathil setelah mereka mengambil keputusan peperiksaan.
“Apa?” jawab Umar, penuh
tanda tanya.
“Ana sedar yang dahulu ana hanya dipengaruhi oleh hawa
nafsu, sering lalai daripada mengingati Allah. Cinta ana dulu, bukan kerana
Allah, kerana ana sekarang sudah dapat mengawal perasaan ana terhadap Asiah,
malah ana bersyukur kerana ana sudah tidak mempunyai perasaan terhadapnya. Kami
lebih gembira sebagai kawan sekarang. Ana bersyukur kerana ana masih lagi
diberikan hidayah oleh Allah, untuk sedar akan kesilapan ana yang lalu. Namun,
sudah menjadi lumrah manusia, bahawa lelaki akan tertarik kepada perempuan,
tetapi ana tidak mahu mengulangi kesilapan yang lalu. Ana memerlukan
bimbinganmu, wahai akhi.”
Umar tidak mengerti, kehairanan. Dia tidak dapat mengagak
buah fikiran Fathil. Kemudian, Fathil menyambung lagi,
“Sebenarnya ana tertarik dengan keperibadian Khazinatul, nta
kenal kan Khazinatul? Ana terpegun dengan personalitinya, bak mawar berduri.
Dia sentiasa menjaga pandangan, hanya berbicara dengan bukan muhrim apabila
perlu, dan juga menjadi idaman bagi seorang lelaki muslim. Tiada lelaki yang
berani untuk mendekatinya, kerana peribadinya yang sungguh tinggi. Tetapi, ana
tewas, ana susah untuk melupakannya, tambah-tambah setelah ana melakukan solat
istiqarah. Alhamdulillah, ana seperti mendapat petunjuk. Ana berharap keputusan
ana betul, untuk melamar Khazinatul. Ana tidak mahu lagi mengulangi perkara
yang sama, iaitu bercinta sebelum kahwin. Ana ingin merasa nikmat cinta, yang
mana mendapat keredhaan Allah, iaitu bercinta selepas mempunyai ikatan yang
sah. Tetapi, ana memerlukan nta, sentiasalah bimbing nta, dan doakan yang
terbaik untuk nta.”
Umar terlopong, terkejut. Umar mengawal perasaannya, dengan
tenang, dia berkata, “Insyaallah, ana akan cuba sedaya upaya ana untuk membantu
nta, tapi pada pendapat ana, apa kata nta habiskan dahulu belajar, kemudian
nanti apabila sudah tamat belajar, ana bantu nta untuk mendekati Khazinatul,
dan melamar dia. Ok? Nta, kahwin ni bukan sesuatu yang mudah. Nta bukan sahaja
perlu bersedia dari segi zahir, malah juga batin. Bagaimana nta ingin menyara
isteri nta, jika nta masih belajar? Nasihatku, nta habiskan dahulu belajar,
dapatkan pekerjaan tetap, lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu Agama, selepas itu,
baru nta benar2 bersedia, dan lamarlah dia.”
“Hmm, lambatnya nak kenal dia, bagaimana kalau dia terlebih
dahulu dilamar orang lain, terlepas nta nanti, siapa yang tak menginginkan
mawar berduri seperti Khazinatul,” soal Fathil.
“Insyaallah, kalau jodoh, takkan ke mana, banyakkan berdoa
kepada Allah, Allah adalah sebaik-baik perancang, ingat, Allah menentukan yang
terbaik untuk kita. Amboih nta ni, sabarlah la skit, haha!”
Mereka berdua tertawa. Hanya menunggu masa dengan penuh
kesabaran. Tetapi, perjuangan mereka takkan terhenti setakat ini sahaja. Mereka
akan sentiasa istiqamah untuk berdakwah serta memperjuangkan Islam, di bumi
Australia. Islam bukan sekadar agama. Islam membimbing kita supaya bertaqwa
kepada Allah, dan menyedarkan kita bahawa Allah adalah pemilik segalanya.
Mereka akan meneruskan perjuangan, hingga ke generasi seterusnya. Insyaallah,
bersama mawar-mawar yang akan menyinarkan lagi cahaya Islam.
Sumber : iluvislam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan