Isnin, 25 November 2013

Hikmah Sakit Buat Pendosa


 



 

Dalam mengharungi kehidupan yang serba mencabar dengan seribu satu dugaan, tidak pernah melepaskan seseorang muslim daripada tertimpa bala bencana. Maklumlah kita makhluk pendosa; tidak terlepas dari kelalaian. Kesakitan adalah salah satu dari dugaan hidup. Bezanya hanyalah sama ada kecil atau besar.


Ada orang ditimpa ujian kehancuran terhadap hartanya. Namun, tidak sedikit pula bagi seseorang yang diuji dengan kesakitan terhadap dirinya sendiri. Ada yang terlantar bertahun-tahun kerana mengalami penyakit yang ganjil. Begitu pula ada yang terpisah dengan anak atau ahli keluarga begitu lama. Semuanya mendera jiwa. Sakit.

Namun, apakah kesakitan baik yang menimpa anggota tubuh badan, harta atau jiwa itu tanda Allah murka kepadanya? Atau mungkinkah ia tanda Allah sedang menghapus dosanya? Barangkali ia merupakan jalan untuk sampai kepada maqam tertinggi di sisi Allah?

Sedangkan, Allah berfirman di dalam surah At-Tagaabun, ayat 11 yang bermaksud:

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.

Penceramah bebas, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, berkata sakit atau musibah yang terkena kepada seseorang adalah datangnya daripada Allah SWT. Tujuannya pelbagai dan mempunyai banyak hikmah untuk direnungi.

Menghapus dosa

Menurutnya, bagi seorang yang pendosa, musibah atau sakit yang ditanggungnya merupakan salah satu jalan untuk Allah menghapuskan setiap dosa hamba-Nya. Bahkan ia seharusnya dilihat sebagai satu terapi untuk menggugurkan kesalahan dan noda pada diri anak Adam.

“Sebagai manusia biasa, sudah tentu kita tiada terlepas daripada melakukan kesalahan sama ada secara sengaja atau tidak. Sedangkan dosa itu sebenarnya menjauhkan diri kita dengan Allah. Jadi hikmah diturunkan kesakitan atau bala bencana itu adalah sebagai cara untuk Allah menghapuskan dosa kita berkenaan,” katanya.

Katanya, ia bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

“Bahkan di dalam satu lagi riwayat, Rasulullah bersabda bahawa dengan hanya tertusuk duri sekalipun, Allah bersedia untuk meninggikan darjat seseorang itu dan menghapuskan satu kesalahan dirinya.

“Jadi, jangan pandang sakit itu sebagai penderaan dan jangan pula mudah berburuk sangka kepada Allah. Bahkan sebaiknya kesakitan atau musibah itu dipandang sebagai nikmat untuk Allah membersihkan diri kita daripada segala dosa dan noda,” ujarnya.

Sakit yang meninggikan darjat

Zaharuddin berkata, selain untuk menghapuskan dosa, kesakitan atau bala bencana yang menimpa seseorang juga merupakan jalan untuk Allah meninggikan darjat seorang hamba-Nya. Walaupun ia mungkin dilihat sebagai teruk di mata manusia, namun hikmahnya hanya Allah yang mengetahui.

Menurutnya, kisah Nabi Ayub ketika bersabar menerima ujian kesakitan terhadap dirinya merupakan contoh yang baik. Betapa Nabi Ayub mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah, namun masih mampu berbaik sangka kepada Rabb.

“Sudahlah dirinya ditimpa penyakit, anak-anak dan isteri juga menjauhinya. Namun Nabi Ayub tetap bersabar menerimanya sehinggalah Allah mengembalikan semula kesihatan kepadanya dan ditinggikan pula darjat di sisi-Nya.

“Jadi, sakit itu dan kesabaran Nabi Ayub dalam melalui ujian Allah berkenaan punya hikmah yang besar. Bukankah semua itu datangnya daripada Allah dan kepada Allah jua harus dikembalikan semuanya?” ujarnya.

Sakit rohani punca kejahatan

Seorang manusia apabila mengalami sakit fizikal, pasti akan bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Bahkan jika lebih parah, doktor pakar akan menjadi tempat rujukan. Selepas itu barulah rawatan dan ubat diberikan bagi menyembuhkan sakit berkenaan.

Bagaimana pula dengan sakit batin? Kesakitan yang tidak dapat dilihat pada luaran. Namun ia bagaikan membarah di dalam dada. Ternyata bukan kecil sakitnya itu. Bahkan mampu merosakkan seluruh anggota badan yang lain.

Zaharuddin ketika mengulas mengenainya berkata, penyakit batin seperti dendam, menipu, bongkak serta pelbagai lagi adalah berpunca daripada hati yang sakit. Bahkan ada yang sampai ke peringkat hatinya terlalu kotor sehingga menggelapkan ruang di dalamnya.

“Ia adalah penyakit rohani. Berpunca daripada dosa yang terlalu banyak sehingga menggelapkan hatinya untuk melakukan kebaikan. Hatinya mudah melakukan kejahatan. Kemudian mendorong anggota badan melaksanakan agenda jahatnya itu. Begitu juga dengan makanan yang diambil dan dimasukkan ke dalam perut sehingga membentuk daging. Ada orang yang mengambil makanan daripada sumber yang haram. Ia sekaligus menggelapkan hati.

“Bahkan ada orang yang tidak tahu bahawa dirinya berdosa. Membiarkan seluruh anggota badan melakukan maksiat sehingga hati sudah tidak mampu melihat cahaya Islam yang sebenar,” ujarnya.

Taubat menyucikan dosa dan noda

Menurut Zaharuddin, taubat nasuha dan penyelesalan terhadap dosa-dosa yang dilakukan selama ini dapat menyelamatkan rohani seseorang daripada terus mengalami kesakitan yang parah.

Katanya, Allah sentiasa membuka ruang kepada hamba-hamba-Nya yang berlumpur dosa serta noda untuk kembali membersihkan diri mereka dengan cara bertaubat. Ujarnya, ini sesuai dengan sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Setiap anak Adam itu berdosa dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah yang memohon taubat kepada Tuhannya” (Hadis riwayat At-Tarmizi).

-Artikel iluvislam

Selasa, 19 November 2013

Isteriku Bukan Ustazah



Suatu hari, ada reunion sekolah lama. Sekolah lama tu pelajar lelaki sahaja. Sekarang semua dah dewasa, ada kerjaya bagus, ada famili. 3 sekawan Zainal, Amar dan Najmi berkumpul kembali. Maka, bermulalah dialog dan sesi taaruf. Dah lama tak jumpa kan.

Zainal: "Ko kawin tahun lepas kan, Amar? Kita taaruf Encik Amar dululah ya. Ceritalah sikit pasal isteri ko kalo tak keberatan."

Amar: "Yup. Isteri aku orang utagha. Alhamdulillah, sejuk mata memandang isteri aku tu. Kerja ustazah."

Zainal: "Wah, samalah kita. Orang rumah aku pun ustazah gak. Aku nikah 2 tahun lepas. Untung dapat ustazah ni."

Amar: "Yup. Senang. Tak perlu didik sangat dah. Majoriti hal agama dia dah tahu. So, smooth sangatlah nak menguruskan famili."

Zainal: "Betul-betul. Aku ni ko tahulah kepala gila-gila sikit. Tapi dapat ustazah. Fuh, dahsyat tak? Isteri aku tu tutup aurat dari hujung rambut sampai hujung kaki. Tudung labuh, pakai jubah. Syukur sangat-sangat aih."

Amar: "Hehe. Samalah dengan aku pun. Macam dia pula duk bimbing aku. Kadang-kadang dia yang ajar aku al-Quran bila aku salah baca. Untung."

Zainal: "Wah. Pendek cite, isteri ustazah ni benar-benar untung besar pada kita suami dunia dan akhirat."

Amar: "Eh, Najmi ko plak camana?"

Najmi cuma tersenyum.

Najmi: "Er. Isteri aku bukan ustazah. Dia nurse."

Amar: "Maaf kalau aku salah cakap ni. Tapi nurse bukan ke kita tahu susah wooo nak dapat yang betul-betul solehah. Bukan kita tak pernah ngorat nurse zaman2 kolej dulu."

Zainal: "Betul2. Aku setuju. Sosial tu lebih lah. Aurat tak terjaga sangat. Tengok pakaian pun dah tahu. Lagi-lagi duk treat pesakit tu lah, pesakit ni lah. Hish, tak terjaga sangatlah."

Najmi: "Aku tak setuju korang cakap gini. Tu dah macam pukul rata. Jangan sebab segelintir yang tak baik, semua angkatan jururawat se-Malaysia kita labelkan macam tu. Aurat mereka di hospital tu ada hukum khusus. Boleh buka bila rawat pesakit jika darurat, kena tutup after rawatan. Kalau bukan adanya jururawat, siapa yang nak tolong doktor? Siapa yang nak peduli pesakit buang air?

Tidak bermakna bila jururawat sentuh pesakit lelaki, itu dinamakan tidak terjaga. Sempit pandangan tu. Sentuh bukan suka-suka, sentuh untuk rawat dan cuci luka. Bukan sentuh untuk menggatal. Kadang2 yang menggatal adalah pesakit lelaki. Nurse ni banyak kerja dan penat. Takde masa nak menggatal pun."

Amar dan Zainal terdiam sekejap.

Najmi: "Takpelah. Aku pun nak balik dah. Isteri aku dah datang tu. Dia kena balik hospital."

Kelihatan seorang gadis cantik berjalan ke arah mereka. Berpakaian sempurna. Tak ada pun tak tutup aurat. Sampainya dekat mereka, didekatinya Najmi.

Najmi: "Kenalkan ni isteri aku. Maaf, aku didik dia tak tengok lelaki lain kecuali bertugas. So, dia tengok aku je. Satu lagi aku nak cakap, actually tugas mendidik adalah tugas suami. Bukannya isteri yang bimbing suami. Terbalik. Suami tak patut goyang kaki dan harapkan isteri dah solehah, so tak perlu didik sangat lagi. Mendidik adalah proses sepanjang hayat.

Solehah atau tidak seseorang isteri itu bergantung pada kesungguhan suaminya untuk juga jadi soleh.

Ok, maafkan aku kalau aku salah cakap. Assalamualaikum."

Amar dan Zainal menjawab salam dan menyambut huluran tangan Najmi. Ditinggalkan mereka berdua terkebil2 muhasabah diri. 

cerita oleh: Muhammad Rusydi

################### 

My ADIKS > Dari kanan: Fatimah,Mahfuzah,Maisarah dan Zahira

Cerita ni saya tujukan buat adinda tercinta,Mahfuzah Ahmad yang bakal menamatkan pengajiannya sebagai pelajar kos kejururawatan di UniKL Ipoh. Yup,dia bukan seorang ustazah, tapi insyaAllah,dia seorang nurse solehah.Owh ya,saya pernah bercerita sikit tentang kisah hijrah adik saya ni dalam Hidayah Usrah, jemput-jemput lah baca ea..
Semoga terus istiqamah sis ^_^

Sabtu, 16 November 2013

“Cinta Islamik” Yang Ternoda

Fathil terpaku. Sedih. Perasaaan bercampur baur melihat sahabat-sahabat seperjuangan Islam ketika di sekolah menengah, kini semakin leka dengan nikmat kesenangan dunia. Tipu daya syaitan mengatasi segala-galanya. Facebook, laman web sosial yang semakin popular, digunakan sebagai medium untuk berhubung dengan kawan-kawannya semula. Fathil sekarang sedang menunggu keputusan peperiksaan akhirnya. Dia belajar di sebuah kolej persediaan untuk ke Australia.


Pilu melihat gambar-gambar sahabatnya di Facebook yang mana dahulunya cukup terkenal sebagai akhi yang sering yang bermujahadah dan istiqamah dalam dakwah, kini hanyut dengan arus cinta manusia. Gambar-gambar bersama teman wanita menghiasi ‘profile pictures’ sahabat-sahabatnya. Tidak kurang juga bagi akhwat, yang dahulunya sangat dihormati kerana menjaga batas pergaulan, tunduk apabila berbicara membuktikan kukuhnya iman, kini alpa dengan arus pemodenan.

Hijab yang dahulunya menjadi duri bagi setiap kumbang yang ingin hinggap pada mawar tersebut, kini sudah tiada lagi. Tudung singkat dan baju ketat menjadi pilihan, menampakkan bentuk tubuh badan yang telah diamanahkan Allah untuk dijaga sebaik mungkin daripada pandangan bukan muhrim.

Bukan semua sahabatnya, hanya segelintir. Kalimah istighfar membasahi bibir Fathil, kelopak mata yang sarat dengan takungan air, melimpah jua.

“Ya Allah, berikanlah hidayah kepada sahabat-sahabat seperjuanganku, janganlah Kau biarkan mereka hanyut dan jauh daripada jalan-Mu yang lurus, sepertiku dulu….”

Fathil tidak mampu membuat apa-apa, kerana apabila dinasihat melalui laman web sosial tersebut, mereka lebih pandai berhujah, malah cuba membenarkan apa sahaja perlakuan mereka. Syaitan dan hawa nafsu menguasai diri mereka. Mereka mempersendakan hukum Allah, tidak takut akan balasan Allah.

“Kenapa mereka berubah sedemikian rupa, Ya Allah” monolognya sendirian.

Fathil mencapai dan membelek-membelek tafsir Al-Quran di hadapannya. Cantik, biru warna kulitnya, dihadiahi seseorang yang pernah mengisi kekosongan hidupnya, suatu ketika dahulu.

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).” (Al-An’aam 6:70)

*****

“Awak, saya harap awak dapat terima buku Hadith Pilihan ni, Insyaallah dapat membimbing kita bersama-sama,” ungkap Fathil sambil menghulurkan sebuah buku berkulit tebal; himpunan hadith-hadith sahih, kepada Asiah.

Asiah juga menghulurkan sebuah tafsir Al-Quran kepada Fathil. Fathil menyukainya memandangkan warna kulit buku tersebut berwarna biru, warna kegemarannya. Pertemuan buat kali terakhir itu dirancang di hadapan masjid berdekatan sebelum mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang masing-masing. Asiah mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di Syria, manakala Fathil mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di Australia. Sebelum itu, Fathil perlu membuat persediaan di sebuah kolej di ibu kota selama setahun setengah di Malaysia.

*****

Fathil dan Asiah adalah antara tulang belakang dalam badan Agama sekolah. Tetapi, sudah menjadi lumrah untuk manusia mempunyai perasaan terhadap berlainan jantina. Mereka menyukai antara satu sama lain. Cinta yang kononnya kerana Allah, iaitu tipu daya syaitan, menghalalkan segalanya.


Pada suatu hari, Fathil meluahnya perasaannya, menggagahkan dirinya mengambil telefon bimbitnya dan menaip,

“Assalamualaikum. Asiah, sebenarnya saya berniat untuk menjadikan awak sebagai kekasih hati saya, wanita yang menyinari hidup saya, bersama-sama membantu saya dalam menegakkan dakwah Islam. Saya memerlukan seseorang yang mendokong saya supaya saya dapat menggalas tanggungjawab menjadi da’ie dengan sebaik mungkin, sepertimana mulianya kasih sayang dan pengorbanan yang dilakukan Khadijah terhadap Rasulullah. Saya cintakan awak, ikhlas kerana Allah, saya sebenarnya berniat menjadikan awak sebagai isteri, tapi kekangan masa mengatasi segalanya, kerana banyak tanggungjawab perlu digalas, saya berharap buat masa ini, awak dapat menerima saya sebagai teman lelaki awak. Insyaallah, jika kita bercinta kerana Allah, Allah akan sentiasa membantu kita supaya kita tidak dikawal oleh hawa nafsu.”

Panjang mesejnya, menanti dengan penuh debaran samada Asiah menerimanya atau tidak. Dipendekkan cerita, responnya positif. Bermulalah sebuah episod cinta yang kononnya berlandaskan Islam, atau “couple in islamic”. Indah, kerana mereka saling memperingati antara satu sama lain, berkongsi ayat-ayat Al-Quran dan banyak lagi. Namun, sebagai manusia dan hamba Allah yang lemah, mereka juga tidak lari daripada zina, walaupun tidak sampai berpegangan tangan, melakukan maksiat atau berdua-duaan di tempat sunyi.

Zina yang dimaksudkan ialah zina hati, kerana mereka saling merindui antara satu sama lain. Sudah menjadi lumrah apabila pasangan akan mengingati pasangannya yang lain. Mereka tewas dengan diri sendiri, malah semakin jauh daripada mengingati Allah. Fathil yang dahulunya menghiasi hari-hari dengan membaca Al-Quran dan berzikir mengingati Allah, sudah berubah. Dia lebih banyak mengingati Asiah daripada Allah, penciptanya. Begitu juga Asiah.

*****

“Assalamualaikum, awak tinggal di bilik AE-25 ke?” sapa seorang lelaki dari belakang, bertubuh agak tinggi dan tegap, suci mukanya.

“Ya,” jawab Fathil, ringkas. Kini, dia berada di hadapan bilik AE-25, asrama tempat tinggal kolej persediaannya.

“Owh, jadi bilik kita sama,” senyum lebar lelaki tersebut.

Umar namanya. Wataknya yang periang membuatkan Fathil berasa selesa dengannya, malah mereka berdua mempunyai nawaitu yang sama, iaitu menjadi syabab (pemuda) yang menjadikan Islam sebagai rutin hidup, yang seimbang antara dunia dan akhirat, serta bersama-sama dalam jalan dakwah berkongsi ilmu mengenai Islam terhadap pemuda-pemuda yang lain. Rutin harian mereka mudah diikuti. Mereka bersolat jemaah pada setiap waktu di surau, mengamalkan al-mathurat selepas subuh, membasahkan lidah dengan berzikir dan berselawat, bersugi sebelum berwuduk, menunaikan solat sunat dhuha, menunaikan solat tahajud di kala sahabat yang lain enak tidur, usrah bersama rakan-rakan, mengamalkan surah Al-mulk sebelum tidur, dan pelbagai lagi amalan yang dilakukan, semata-mata mencari keredhaan Allah.

Mereka berdua menunjukkan teladan yang baik sebagai medium dakwah. Alhamdulillah, mereka berdua menjadi sahabat karib yang mana mereka bersahabat kerana Allah, bertemu dan berpisah jua kerana-Nya.

Sudah 4 bulan mereka belajar di situ. Umar menyedari perbuatan Fathil sejak sekian lama, pada setiap pagi selepas subuh dan juga sebelum tidur. Fathil pasti akan menggunakan telefon bimbitnya, bermesej sambil senyum sendirian. Selama ini, Umar sentiasa husnul zon (bersangka baik). Namun, pada hari ini dia bertekad untuk bertanya Fathil. Umar memulakan perbualan sebelum tidur.

“Baiknya, nta selalu mesej ibu bapa nta.”

“Eh, mana ada, ana tak mesej diorang pun, ana mesej kawan,” jawab Fathil.

“Owh, kawan, lelaki ke perempuan?” soal Umar.

“Hmmmm,” Fathil terhenti seketika. Dia dapat mengagak bahawa Umar mengesyaki sesuatu.

*****

“Tak, nta tak paham, ana bercinta kerana Allah, ana dah berjanji yang akan bernikah setelah abis belajar,” jawab Fathil, sayu.

“Wahai akhiku, tiada perkara yang menghalalkan cara, walaupun niat nta baik, tapi nta tersalah method. Sebagai contoh, seorang ustaz ingin mengajarkan agama terhadap seseorang perempuan, tetapi mereka berdua-duaan di hadapan khalayak. Walaupun niat ustaz tersebut baik, tetapi methodnya salah. Maka akan timbulnya fitnah daripada orang yang melihatnya. Bagi situasi nta plak, walaupun nta mempunyai niat yang baik, untuk menjadikan dia sebagai isteri yang sah, method nta kurang tepat. Nta tetap berpeluang untuk terjerumus dalam zina, iaitu zina hati. Usah menipu diri sendiri dengan mengatakan yang nta tidak sesekali rindu akan dia. Jika nta betul-betul sayangkan dia kerana Allah, nta tidak akan membiarkan dia menghampiri zina, kerana sudah semestinya dia juga akan merindui nta. Jika nta mencintai dia, kenapa nta hendak kotorkan hati sucinya daripada lalai mengingati Allah, tetapi mengingati nta? Jangan biarkan hawa nafsu menguasai kita, ana sayangkan nta sebagai sahabat dunia akhirat, ana takkan biarkan nta hanyut dengan cinta remaja, lagipun adakah nta dapat menjamin bahawa nta cintanya kerana Allah, atau kerana hawa nafsu?” hujah Umar, panjang lebar. Umar beristighfar supaya dirinya tidak dikuasai emosi, sebaliknya bersikap profesional dalam menasihati sahabatnya itu.

“Tapi Umar, nta jangan salah faham, ana dengan dia saling menasihati antara satu sama lain, saling mengingatkan, ana tak ada mesej jiwang-jiwang dengan dia, Subhanallah. Malah, apa bezanya kalau ana mesej dengan dia, atau mesej dengan kawan perempuan lain?”

“Beza akhiku, kerana nta mempunyai perasaan terhadap dia, dan si dia juga mempunyai perasaan terhadap nta, iaitu kasih sayang dan cinta. Berbeza dengan kawan perempuan, yang mana kita mesej apabila dirasakan perlu dan nta tidak ada perasaan terhadapnya. Tetapi, kepada si dia, nta sudah pasti rasa tidak keruan jika tidak mesej dengannya, walaupun sehari, bukan? Sedarlah wahai sahabatku.”

Fathil diam. Terpaku. Tidak mampu berkata apa-apa, hanya mampu beristighfar, memikirkan kata-kata sahabatnya. Hari-hari malam yang dilaluinya, begitu perit, kerana Umar sentiasa menasihatinya, istiqamah. Umar tidak pernah berputus asa membimbing sahabatnya itu. Fathil teringat akan firman Allah,

“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Al-Baqarah 2:44)

“Ya Allah, apa yang telah aku lakukan, aku menggalakkan sahabat-sahabatku supaya bertaqwa kepada Allah, tetapi aku lupa akan kejahilan diriku ini,“tersentuh hati Fathil.

Fathil juga semakin sedar. Dia semakin banyak menghabiskan masa membaca Al-Quran.

Method dakwah Umar memang berkesan. Alhamdulillah. Umar sentiasa berdoa supaya sahabatnya sedar. Fathil sedar bahawa selama ini dia bercinta didorongkan hawa nafsu, bukan kerana Allah. Jika dia bercinta kerana Allah, dia tidak akan mengotorinya dengan hawa nafsu dengan mendekati perempuan tersebut. Fathil bertaubat, memohon seribu kemaafan daripada Allah. Suatu hari, dia bertekad, dan meminta pendapat Umar, adakah dia patut minta putus dengan Asiah. Umar tenang, sambil berkata,

Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah 2:216)

Fathil bertekad, mengambil telefon bimbit di belakang bantalnya, dan menaip mesej,

“Assalamualaikum awak. Saya ingin mintak maaf, ikhlas dari lubuk hati, mungkin keputusan saya ini akan membuatkan awak terkejut, dan menangis. Tetapi percayalah, saya melakukan ini semata-mata kerana Allah. Cinta kepada Allah sangatlah agung, tetapi sukar untuk kita miliki. Selama ni, cara kita salah, tiada ungkapan cinta islamik dalam cinta remaja, sebaliknya cinta yang sebenar ialah selepas akad nikah. Walaupun kita selalu berhubung dan saling menasihati mengenai benda-benda kebaikan, perkara ini tak menghalalkan cara. Saya tiada niat untuk melukakan hati awak, sebaliknya jika awak benar-benar menyayangi saya, kerana Allah, kita akhiri hubungan kita setakat ini sahaja. Ingatlah, kita hanya merancang, tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang, jika kita benar-benar dijodohkan, Alhamdulillah, jika tidak, terimalah ketentuan Allah, dengan redha dan ikhlas. Kita hidup mengharapkan keredhaan-Nya. Saya harap kita akan dapat kekal sebagai kawan sahaja setakat ini.”

Mesej dihantar. Air mata Fathil mencurah-curah. Tidak tertahan olehnya pengorbanan yang telah dilakukan. Umar berada di sisi, memberi kata-kata semangat, “Luahkan segalanya wahai akhiku, ingat, nta bermujahadah kerana Allah, Allah akan sentiasa bersama nta.”

*****

Bunyi deringan lagu ‘Menanti di barzakh’, alarm telefon bimbit Umar memecah kesunyian subuh. Mereka berdua terjaga, bersiap-siap. Fathil mencapai telefon bimbitnya; ada 5 mesej dan 2 ‘miscall’. Tak semena-mena, Fathil menangis. Umar dapat menjangkannya, dan hanya mampu memberikan semangat kepada Fathil. Fathil menggagahkan dirinya untuk bersolat subuh berjemaah di surau, mengikut Umar.

Seolah-olah sebahagian nyawanya hilang, dia menangis teresak-esak sepanjang perjalanan ke surau. Namun, dia percaya, mujahadah dan pengorbanan yang dilakukan ini, hanya akan dirasa sebentar sahaja keperitannya, dia percaya bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang, dan setiap perkara pasti ada hikmahnya. Mungkin dia akan dipertemukan dengan perempuan yang lebih baik, kerana jodoh sudah pasti di tangan Allah.

Perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.
(An-Nuur 24:26)

******

Masa berlalu begitu pantas. Kenangan yang lama telah dilupakan. Hidup mesti diteruskan. Alhamdulillah, Umar dan Fathil telah mendapat keputusan yang cemerlang, melayakkan diri mereka untuk melanjutkan pelajaran di Australia. Rezeki mereka juga baik kerana mereka mendapat tempat di universiti yang sama di Australia.

“Umar, nta berhajatkan sesuatu,” kata Fathil setelah mereka mengambil keputusan peperiksaan.

“Apa?” jawab Umar, penuh tanda tanya.

“Ana sedar yang dahulu ana hanya dipengaruhi oleh hawa nafsu, sering lalai daripada mengingati Allah. Cinta ana dulu, bukan kerana Allah, kerana ana sekarang sudah dapat mengawal perasaan ana terhadap Asiah, malah ana bersyukur kerana ana sudah tidak mempunyai perasaan terhadapnya. Kami lebih gembira sebagai kawan sekarang. Ana bersyukur kerana ana masih lagi diberikan hidayah oleh Allah, untuk sedar akan kesilapan ana yang lalu. Namun, sudah menjadi lumrah manusia, bahawa lelaki akan tertarik kepada perempuan, tetapi ana tidak mahu mengulangi kesilapan yang lalu. Ana memerlukan bimbinganmu, wahai akhi.”

Umar tidak mengerti, kehairanan. Dia tidak dapat mengagak buah fikiran Fathil. Kemudian, Fathil menyambung lagi,

“Sebenarnya ana tertarik dengan keperibadian Khazinatul, nta kenal kan Khazinatul? Ana terpegun dengan personalitinya, bak mawar berduri. Dia sentiasa menjaga pandangan, hanya berbicara dengan bukan muhrim apabila perlu, dan juga menjadi idaman bagi seorang lelaki muslim. Tiada lelaki yang berani untuk mendekatinya, kerana peribadinya yang sungguh tinggi. Tetapi, ana tewas, ana susah untuk melupakannya, tambah-tambah setelah ana melakukan solat istiqarah. Alhamdulillah, ana seperti mendapat petunjuk. Ana berharap keputusan ana betul, untuk melamar Khazinatul. Ana tidak mahu lagi mengulangi perkara yang sama, iaitu bercinta sebelum kahwin. Ana ingin merasa nikmat cinta, yang mana mendapat keredhaan Allah, iaitu bercinta selepas mempunyai ikatan yang sah. Tetapi, ana memerlukan nta, sentiasalah bimbing nta, dan doakan yang terbaik untuk nta.”

Umar terlopong, terkejut. Umar mengawal perasaannya, dengan tenang, dia berkata, “Insyaallah, ana akan cuba sedaya upaya ana untuk membantu nta, tapi pada pendapat ana, apa kata nta habiskan dahulu belajar, kemudian nanti apabila sudah tamat belajar, ana bantu nta untuk mendekati Khazinatul, dan melamar dia. Ok? Nta, kahwin ni bukan sesuatu yang mudah. Nta bukan sahaja perlu bersedia dari segi zahir, malah juga batin. Bagaimana nta ingin menyara isteri nta, jika nta masih belajar? Nasihatku, nta habiskan dahulu belajar, dapatkan pekerjaan tetap, lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu Agama, selepas itu, baru nta benar2 bersedia, dan lamarlah dia.”

“Hmm, lambatnya nak kenal dia, bagaimana kalau dia terlebih dahulu dilamar orang lain, terlepas nta nanti, siapa yang tak menginginkan mawar berduri seperti Khazinatul,” soal Fathil.

“Insyaallah, kalau jodoh, takkan ke mana, banyakkan berdoa kepada Allah, Allah adalah sebaik-baik perancang, ingat, Allah menentukan yang terbaik untuk kita. Amboih nta ni, sabarlah la skit, haha!”

Mereka berdua tertawa. Hanya menunggu masa dengan penuh kesabaran. Tetapi, perjuangan mereka takkan terhenti setakat ini sahaja. Mereka akan sentiasa istiqamah untuk berdakwah serta memperjuangkan Islam, di bumi Australia. Islam bukan sekadar agama. Islam membimbing kita supaya bertaqwa kepada Allah, dan menyedarkan kita bahawa Allah adalah pemilik segalanya. Mereka akan meneruskan perjuangan, hingga ke generasi seterusnya. Insyaallah, bersama mawar-mawar yang akan menyinarkan lagi cahaya Islam.

Sumber : iluvislam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
✿ Personal Blog : Copyright 6/12/2012 © Design By Nurul Jannah Binti Ahmad ✿